Vangardx.net » Blog Archive » Perutusan Panglima Tentera Darat sempena Jubli Intan TDM

Perutusan Panglima Tentera Darat sempena Jubli Intan TDM

Military March 3rd, 2008

Salam & hello buat semua pembaca yang dihormati, syamsulariff dot com ingin mengucapkan Selamat Ulangtahun Tentera Darat yang ke-75 pada 1 Mac 2008. Berikut adalah perutusan daripada Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail bin Hj. Jamaluddin

Bismillahirahmanir rahmim

Panglima-panglima, Perwira-perwira, Para Perajurit dan hadirin yang saya hormati sekalian.

Assalamualaimum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana, dengan rahmat dan hidayah-Nya, maka dapat kita bersama-sama, pada pagi yang indah ini, untuk menyaksikan perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-75. Saya mengucapkan syabas kepada saudara-saudari kerana telah mempamerkan satu mutu perbarisan yang amat kemas, segak dan bersemangat. Saya juga, secara peribadi, berasa amat bersyukur dan bertuah, kerana telah ditakdirkan oleh Allah Subahanahu Wataala untuk menyambut Ulang Tahun Tentera Darat ke-75, iaitu Ulang Tahun Jubli Intan bersama-sama saudara dan saudari sekalian.

Perbarisan pada pagi ini juga, amat bermakna dengan kehadiran beberapa mantan Panglima-Panglima Tentera Darat, dan Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat yang telah bersara. Sesungguhnya, kehadiran YBhg Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’ dan tuan-tuan sekalian telah membuahkan semangat, dorongan dan sokongan untuk kita meneruskan perjuangan, demi mempertahankan kedaulatan negara kita yang tercinta. Bagi pihak semua warga Tentera Darat, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, kerana sudi hadir di perbarisan yang amat bersejarah ini.

Saudara-Saudari yang saya hormati sekalian,

Sebelum saya meneruskan perutusan ini, saya ingin mengajak hadirin sekalian untuk bertafakur, dan bagi yang beragama Islam, marilah sama-sama kita hadiahkan Al-Fatihah, kepada rakan seperjuangan yang telah terkorban demi agama, bangsa dan negara. Semoga Allah Subhanahu Wataala mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka, serta menempatkan mereka bersama-sama golongan orang-orang yang soleh.

Ingatan ikhlas juga, saya ingin tujukan kepada balu-balu dan anak-anak rakan seperjuangan kita, yang telah gugur sebagai pahlawan. Tentera Darat, tidak melupakan mereka, dan akan sentiasa berusaha untuk membantu mereka dalam apa jua bentuk. Kepada mereka yang tercedera semasa melaksanakan tugas, Tentera Darat sentiasa menghargai jasa-jasa saudara-saudari, dan akan terus membela nasib saudara-saudari agar terus mampu mengharungi kehidupan yang lebih selesa.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa dan keluarga seluruh anggota Tentera Darat, yang telah memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak, suami dan isteri untuk berkhidmat demi agama, bangsa dan negara. Pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan amatlah besar ertinya, hanya Allah jua yang mampu membalasnya.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Hari ini, tanggal 1 Mac 2008, Tentera Darat telahpun berusia 75 tahun. Di sinilah di mana ianya semua bermula, dengan tertubuhnya satu kompeni percubaan, yang terdiri dari pahlawan-pahlawan Melayu. Kompeni ini, selanjutnya, berkembang dengan tertubuhnya Rejimen Askar Melayu Di Raja yang mana, hari ini juga adalah Hari Ulang Tahun Ke 75 mereka. Mengambil kesempatan ini, saya secara peribadi dan bagi pihak warga Tentera Darat, ingin merakamkan tahniah kepada Pengerusi, perwira-perwira serta perajurit Rejimen Askar Melayu Di Raja di atas Hari Ulang Tahun ke-75. Syabas.

Sejak ditubuhkan 75 tahun yang lalu, Tentera Darat telah melalui proses transformasi, mengikut peredaran zaman dan keadaan persekitaran. Perubahan persekitaran serantau dan antarabangsa yang kompleks serta mencabar, menuntut agar Tentera Darat lebih bersiap sedia, untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang. Tentera Darat akan terus berusaha, untuk membentuk sebuah angkatan yang kredibel, serta berkemampuan tinggi dalam melaksanakan sebarang operasi, sama ada dalam atau luar negara, sejajar dengan keperluan dan kehendak negara. Ini melibatkan, rancangan dan tindakan untuk memperkasakan keupayaan ketenteraannya, di samping, terus mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat dan pembangunan negara. Di atas hakikat itulah, Tentera Darat telah menetapkan tema sambutan Hari Tentera Darat yang ke-75, sebagai “Tentera Darat Pendukung Aspirasi Rakyat dan Kedaulatan Negara”

Kita harus sedar, bahawa semua pencapaian dan kejayaan Tentera Darat, bukannya datang dengan mudah, tetapi melalui pengorbanan oleh semua warga Tentera Darat kepada tanah air yang dicintai. Pengorbanan ini, telah meningkatkan imej dan kemampuan Tentera Darat di peringkat yang tinggi, sama ada dalam dan juga luar negara. Penghargaan dan pengiktirafan tinggi yang telah kita terima, membuktikan bahawa tahap kemampuan dan profesionalisme Tentera Darat, setanding dengan Angkatan Tentera negara-negara maju.

Hadirin dan Perajurit yang saya hormati sekalian,

Kejayaan operasi terawal Tentera Darat, sebenarnya adalah merupakan kejayaan dari segi semangat kepahlawanan, yang telah ditunjukkan oleh Leftenan Adnan Saidi serta rakan seperjuangan, dalam mempertahankan tanah air semasa serangan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Ini diikuti dengan kejayaan menangkis serangan tentera asing, semasa konfrontasi dari tahun 1963 hingga 1966, peletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya, pada tahun 1989, dan Parti Komunis Kalimantan Utara pada tahun 1990. Semua kejayaan ini amat besar ertinya bagi Tentera Darat.

Sejarah kegemilangan Tentera Darat telah menjangkau ke arena antarabangsa, bermula dengan penghantaran kontinjen ke Misi Pengaman di Congo, yang dikenali sebagai Pasukan Khas Malaya atau Malayan Special Forces, pada bulan Julai 1960. Kita terus mengukir nama, melalui penglibatan seramai lebih 21,000 pegawai dan lain-lain pangkat, dalam beberapa misi pemerhati dan pengaman, di 17 buah negara di seluruh pelusuk dunia. Sesungguhnya, sumbangan dan pengorbanan ini, turut menyokong agenda negara dalam mengekalkan keamanan sejagat, melalui jalinan hubungan baik, dan bantuan kepada masyarakat antarabangsa.

Marilah kita, sama-sama menyingkap kembali pengorbanan perwira-perwira kita, bagi melahirkan suatu natijah, betapa gigihnya semangat dan pengorbanan mereka, untuk meletakkan Tentera Darat di mercu tanda, yang sangat kita banggakan . Saya juga ingin mengingatkan, agar kita jangan hanyut dan leka dengan semua kejayaan yang telah dicapai, tetapi mesti menjadikannya, inspirasi dan aspirasi untuk menyambung lagi perjuangan yang mulia ini.

Dalam aspek latihan pula, Tentera Darat telah menimba pelbagai pengalaman yang sungguh bernilai, untuk menjadikan kita lebih matang dalam membentuk dan melatih anggota Tentera Darat, agar menjadi anggota yang berpengetahuan, kompeten, berdisiplin dan bersemangat waja. Saya menyeru, agar kita terus mencari kaedah, dan pendekatan kepada latihan yang lebih berkesan, sejajar dengan arus perkembangan teknologi, peralatan dan persenjataan moden, yang ada kini dalam inventori Tentera Darat. Usaha ini, hendaklah merangkumi penggunaan, dan pengaplikasian teknologi, dengan bijaksana dan lebih efektif.

Suadara-Saudari sekalian,

Dalam tempoh 75 tahun ini, kita telah menyaksikan Tentera Darat membangun dengan amat pesat. Bermula dengan sebuah angkatan peperangan insurgensi, kini berubah menjadi sebuah angkatan konvensional yang moden, dan berkemampuan. Pembangunan aset yang terancang, telah memperlihatkan peningkatan keupayaan Tentera Darat, sebagai sebuah organisasi yang versatil, berdaya tahan dan berdaya juang. Ini, dapat kita saksikan dengan wujudnya Pasukan Udara Tentera Darat dengan helikopter moden, peningkatan kuasa tembakan seperti Sistem Roket Lancar Berganda, peningkatan pengawasan ruang udara dan daratan melalui radar, peningkatan mobiliti dan daya tempur dengan penggunaan kereta perisai dan kereta kebal, serta peningkatan keupayaan peperangan elektronik, dengan penggunaan peralatan komunikasi berteknologi tinggi.

Bagi menjamin pembangunan Tentera Darat berada di landasan yang betul, kita perlu meneruskan pelan pembangunannya dilaksanakan secara berperingkat, dan terancang. Saya berkeyakinan, pendekatan melalui ‘operating while transforming’, akan membolehkan Tentera Darat bergerak maju mengikut arus perkembangan dunia, tanpa mengabaikan tanggungjawab yang sedia ada. Tetapi, ini memerlukan kita mencorak struktur organisasi agar lebih adaptif dan berfokus, serta berorientasikan penugasan operasi ketenteraan semasa. Dalam menyediakan Tentera Darat menghadapi perubahan persekitaran yang dinamik, dan ledakan teknologi, kita juga telah mengorak langkah untuk membangunkan konsep ‘Future Soldier System’, sebagai teras pembangunan angkatan masa hadapan, bersesuaian dengan pendekatan Tentera Darat ke arah ‘Future Soldiers for Future Battlefield’.

Tentera Darat juga menyedari, bahawa pembangunan modal insan hendaklah diurus dan disusun, sejajar dengan keperluan teknologi. Justeru, program-program pembelajaran dan latihan, berorientasikan pengetahuan atau knowledge-based, akan terus dilaksanakan, bagi menyediakan modal insan yang berilmu, kompetitif, matang, berwawasan, memiliki budaya kerja yang cemerlang, serta bersikap positif dan proaktif. Dalam hal ini, saya berkehendakkan, setiap lapisan pemimpin dan anggota, untuk terus memberikan komitmen yang padu, agar usaha kita mencapai matlamatnya.

Tentera Darat, telah menyusun program pembangunannya, mengikut acuan dan parameter yang telah digariskan, dalam Pelan Pembangunan Strategik Army 2 10 plus 10. Bagi memastikan keberkesanan pelan ini direalisasikan dengan berkesan, dan mengikut garisan masa yang ditetapkan, kaedah Balanced Scorecard, akan dipraktikan secara menyeluruh. Di samping ini, kita juga perlu menerapkan kaedah Prudent Financial Management dan Best Value for Money, sebagai pendekatan yang mesti dilaksanakan, untuk mengelak sebarang kemungkinan salah guna kuasa atau penyelewengan, bagi menghasilkan pengurusan kewangan yang berhemah dan berfokus.

Semua konsep dan teras pembangunan yang saya nyatakan tadi, memerlukan komitmen yang tinggi oleh semua pihak. Keupayaan setiap individu dalam memanfaatkan perubahan persekitaran, membolehkan Tentera Darat terus kekal bijak menguruskan organisasinya, di mana kewujudan kita tetap kekal relevan. Namun, harus diingat, bahawa era teknologi ini tidak seharusnya menghakis nilai-nilai institusi ketenteraan sebagai tunjang kekuatan Tentera Darat. Etos ketenteraan, seperti semangat setia kawan dan keberanian, kekentalan mental dan kekuatan fizikal, pemeliharaan budaya dan adat resam ketenteraan, serta pengekalan mutu disiplin yang tinggi, memperakukan kewujudan Tentera Darat sebagai ketumbukan yang unggul, dihormati dan digeruni.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Bagi mendukung aspirasi Negara merealisasikan Wawasan 2020, Tentera Darat akan terus memikul tanggungjawabnya bagi memastikan keamanan, dan kedaulatan negara terpelihara. Keadaan ini, akan dapat mengukuhkan kestabilan politik negara, dan memberikan ruang kepada Kerajaan mentadbir negara dengan baik, bagi menjana ekonomi negara berkembang dengan pesat. Tentera Darat juga, mestilah dilihat sebagai sebuah angkatan yang sentiasa diyakini dan dipercayai, agar ia dijadikan sandaran, serta jaminan oleh rakyat Malaysia, bagi menikmati kehidupan yang aman di negara ini. Penubuhan Rejimen Sempadan, sebagai Kor/Rejimen yang Ke-16 dalam Tentera Darat baru-baru ini, adalah manifestasi kita bagi menentukan kawalan dan keselamatan sempadan negara, dilaksanakan dengan sistematik dan efisien.

Saya juga ingin memaklumkan, penubuhan Rejimen Sempadan ini membolehkan anggota-anggotanya, menikmati segala kemudahan yang disediakan kepada anggota tetap. Di samping itu, kita telah menikmati kenaikan gaji sehingga 42% pada tahun lalu. Kerajaan juga, telah meluluskan 330 jawatan fleksi, untuk pangkat Lt Kol/Mej bagi pegawai-pegawai Tentera Darat, selain meningkatkan umur persaraan Kapten dari 46 ke 50 tahun, dan Mejar dari 51 ke 53 tahun. Dalam pada itu, Tentera Darat juga telah, dan akan terus melaksanakan penyelenggaraan kem-kem dalam program ‘Army Care’, membina kem-kem serta rumah keluarga baru. Saya menaruh penuh keyakinan, bahawa insentif dan program pembangunan ini, berupaya meningkatkan kualiti hidup yang lebih selesa kepada seluruh warga Tentera Darat. Justeru, saya menyeru agar kita menghargai segala usaha kerajaan ini, dan bijak membuat pertimbangan yang wajar apabila diperlukan tidak beberapa lama lagi.

Perwira, Bintara dan Perajurit yang saya hormati sekalian,

Sebelum saya mengakhiri perutusan ini, bagi pihak semua lapisan warga Tentera Darat, saya ingin melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi, kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Tentera Darat, akan sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan negara, dan berdiri teguh menyokong penuh tampuk pemerintahan negara. Saya juga, ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, di atas kepercayaan dan sokongan untuk pembangunan Tentera Darat. Sokongan padu kerajaan, yang kita telah dan akan terus menerima, akan membolehkan kita membangunkan Tentera Darat mencapai tahap ‘mission capable’ yang tinggi.

Tentera Darat juga menghargai, segala bentuk kerjasama, sokongan dan dokungan dari Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan organisasi bukan kerajaan yang lain. Segala bentuk kerjasama, sokongan dan dokongan yang diberi, telah membolehkan Tentera Darat melaksanakan misinya dengan jaya, efisien dan berkesan. Tidak lupa juga, ucapan penghargaan kepada ahli-ahli BAKAT Tentera Darat, di atas segala sumbangan dan pengorbanan yang telah dicurahkan, untuk kebaikan serta keharmonian Angkatan ini. Marilah kita sama-sama berdoa, agar Tentera Darat akan sentiasa berada di bawah lembayung keberkatan dan, kerahmatan Allah Subhanahuwataala.

Akhir kata, saya mengajak seluruh warga Tentera Darat, untuk menjadikan kematangan usia angkatan yang mencapai 75 tahun ini, dilalui dengan penuh keinsafan, perhatian dan iltizam, dalam rangka meneruskan usaha ke arah menjadikan Tentera Darat, suatu angkatan yang cemerlang, gemilang dan terbilang, untuk mendukung aspirasi rakyat dan kedaulatan negara tercinta ini. Sekian, terima kasih.

GAGAH SETIA

“TENTERA DARAT MENDUKUNG ASPIRASI RAKYAT DAN KEDAULATAN NEGARA”

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

JENERAL TAN SRI MUHAMMAD ISMAIL BIN HJ JAMALUDDIN
PANGLIMA TENTERA DARAT

Sumber : TDM

Related posts

I'm blogging to improve my English. Encourage me by subscribing to my blog. Enter your email address and click subscribe to show your support.


3 Comments »

Comment by KNizam
2008-03-03 23:39:45

tahniah ! lepas neh ada celebration 75 tahun lah ni ya ? jubli apa ek ?

Comment by vangardx
2008-03-04 00:20:38

jubli intan bro.. :D

 
 
Comment by afham
2008-03-04 07:23:20

selamat menyambut ulangtahun tentera darat..tak wish aku siap nko!!

 
Name (Required)

E-mail (Required - Dont worry, we hate spam too)

Website or Blog address

Your Comment (smaller size | larger size)